find a baby sitter, nanny, orang gaji

Tentang Nazari Zain

Memulakan kerjaya sebagai seorang kakitangan kerajaan di sebuah jabatan pada tahun 1975. Menceburi bidang insurans secara sambilan pada tahun 1988 dan seterusnya mengikuti pengajian professional selama 3 tahun di Institut Insurans Malaysia. Meninggalkan khidmat di jabatan tersebut selepas penswastaan pada 1997 untuk menceburkan diri sepenuhmasa sebagai Pengurus Jualan Kumpulan di sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur.

Terlibat dalam aktiviti NGO dari 1999 - 2000 sebagai Pengurus Projek menghasilkan Direktori Usahawan Bumiputera dan mengurus acara untuk usahawan bersama industri perbankan. Mengetuai projek `Seminar & Latihan Usahawan Ke Arah Perdagangan Elektronik’ bersama Jaring Internet Services pada tahun 2001. Projek ini disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan. Pada tahun 2002 dipelawa menyertai sebuah syarikat IT dalam projek  `Memahami E-Niaga’ dengan kerjasama Utusan Malaysia.

Dari ilmu yang diperolehi dari kedua-dua projek tersebut, akhirnya beliau berhasrat untuk mencuba ceburkan diri dalam perniagaan elektronik dengan mendaftarkan sebuah syarikat pemilik tunggal. Menaikan taraf syarikat menjadi syarikat Homeneed Services Sdn Bhd dengan perkongsian bersama seorang rakan karib pada tahun 2004. Nama domain dipilih www. thehomeneeds.com.

Usaha ini hanya bertahan selama setahun. Perniagaan terpaksa dihentikan kerana kekurangan modal dan salah strategi. Pada tahun 2005 menyertai sebuah lagi syarikat IT sebagai Pengurus Pemasaran  memasarkan produk untuk industri pelajaran dan jabatan kerajaan.

April 2009, dengan bantuan teknikal rakan-rakan, beliau mencuba kali kedua untuk berjaya dalam perniagaan elektronik. Nama domain yang dipilih www.oranggaji.com adalah berdasarkan pengalaman sendiri membesarkan 5 orang anak tanpa pembantu rumah. Pengalaman dijadikan ilham untuk perniagaan elektronik ini dengan niat untuk membantu pasangan bekerja yang tidak mampu menggajikan pembantu rumah sepenuh masa.

Ilham juga datang apabila beliau sukar mendapatkan bidan selepas tiap kali isteri bersalin. Tambah lagi bila kenangkan ibubapa yang tinggal berjauhan. Alangkah baiknya jika anak-anak mampu menggajikan orang menjaga ibubapa dan tidak menghantar mereka ke rumah jagaan orang tua.

Motivasi paling kuat adalah untuk membantu masyarakat Malaysia yang menganggur memperolehi pendapatan dengan membuat kerja-kerja ke rumah dengan secara sambilan. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan penggantungan kepada tenaga buruh asing dalam industri perkhidmatan. Aktiviti sebegini pernah dilakukan oleh masyarakat kita satu ketika dahulu.